IPOH – “Dah glamor pun buat apa, bukan ada orang nak tolong,” itu ayat pertama diluahkan V Katharvale Pillay, 49, individu yang mula mendapat perhatian di media sosial apabila imejnya berjalan menampakkan seolah-olah dia tidak berkepala dimuat naik pelayar.
Video berdurasi 12 saat yang mendapat perkongsian sejak April lepas, diambil dari sudut belakang di sekitar pekan Ipoh hingga menampakkan lelaki berkenaan seolah-olah tidak mempunyai kepala ketika berjalan.
Keadaan itu menjadikan gelandangan ini mendapat perhatian penduduk sekitar negeri ini hinggakan ada sahaja yang memuat naik gambar terbarunya di laman sosial sama ada ketika dia berjalan atau duduk berehat di sekitar bandar raya ini.
Katharvale berkata, walaupun dia tidak mempunyai akses ke laman sosial, dia tahu gambarnya sudah dikongsi banyak pihak.
“Setiap kali saya jalan atau duduk-duduk rehat, ada saja yang menyapa dan cuba ambil gambar, yang ambil gambar secara curi-curi pun ada, saya tak marah, kecik hati pun tak, dah lali dah.
“Tapi dia orang letak kat internet kasi saya popular pun bukan boleh ubah nasib saya, tak ada yang datang tolong pun, keadaan tetap sama macam dulu,” katanya.
Dia yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa premis termasuk bank mengakui, tidak mempunyai pilihan lain selain hidup gelandangan kerana masalah kewangan.
Katanya, selepas diberhentikan kerja, harta dan rumah yang dimiliki sebelum ini sedikit demi sedikit habis dilelong.
“Inilah rutin saya sejak empat tahun lalu, saya masih boleh kerja, tapi tak ada majikan yang nak gajikan saya, mereka kata saya ada penyakit. Saya tak nak mintak duit orang, saya nak kerja,” katanya yang menjadikan Bangunan Seri Kinta dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai lokasi rehatnya.
Masalah urat tengkuk
Katharvale yang beralamat di Selekoh, Bagan Datoh berkata, dia terpaksa berjalan menunduk sebegitu kerana mempunyai masalah urat tengkuk hingga sukar untuk ditegakkan.
Menurutnya, dari tahun ke tahun, keadaan lehernya semakin menunduk, namun berdasarkan keterangan doktor, dia tidak mempunyai sebarang penyakit bahaya di bahagian itu.
“Ada yang kata sakit urat, sakit tulang, sampai sekarang saya pun tak tahu sakit apa, dah malas nak ambil tahu. Boleh tegakkan kepala, tapi tak boleh lama-lama, saya jadi pening, kalau tidur pun, saya lebih selesa tidur duduk macam ni sampai jatuh-jatuh.
“Bila orang tengok saya banyak kali, saya cuma cakap yang saya ada kepalalah, tak perlu takut atau terkejut,” katanya.
Orang ramai takut
Dia berkata, keadaannya yang sering dalam keadaan menunduk itu ada ketikanya menimbulkan situasi lucu dan ketakutan kepada orang ramai terutama waktu malam.
Katanya, suatu ketika dulu, dia pernah menunggang basikal, namun oleh kerana kerap terlanggar belakang kereta, dia mengambil keputusan untuk berjalan sahaja.
“Sebab asyik tunduk je mana nak nampak depan, mesti la langgar belakang kereta, orang jerit dan larikan diri itu dah jadi perkara biasa mana-mana orang yang bertembung dengan saya.
“Sebab tu sekarang saya dah potong rambut, buang misai dan jambang semua, harap-harap tak de la orang takut sangat kalau terserempak,” katanya dalam nada bergurau.
Dia yang sudah tidak mempunyai keluarga tidak berhasrat untuk hidup sebagai gelandangan sepanjang hayat, hanya menunggu wang simpanan kerjanya dapat dikeluarkan dan mahu memulakan hidup baru melalui perniagaan kecil-kecilan.
Menurutnya, hidup gelandangan sangat mencabar bagi usianya, duit yang diberikan orang ramai sering dicuri malah ada ketikanya dipukul samseng jalanan.
“Nanti bila duit dah keluar, saya boleh guna untuk berniaga, jual kacang ke, jual makanan ringan ke, dapat untung sikit-sikit boleh sewa rumah, takkan selamanya nak tidur dekat lantai,” katanya.