Friday, 13 May 2016

Pemandu atau penunggang tanpa lesen akan terus dihadapkan ke mahkamah, kenderaan turut disita

malaysian-driving-license-001_PTBM

Awas bagi yang semua pemandu dan penunggang tanpa lesen memandu yang sah. Anda mungkin akan ditahan oleh pihak polis, dan terus didakwa di mahkamah atas kesalahan memandu/menunggang tanpa lesen!
Pihak polis trafik tidak akan berkompromi dengan pemandu dan penunggang yang tiada lesen ini, tiada lagi sekadar memberikan saman kompaun seperti yang dipraktikkan sebelum ini, namun pesalah akan terus didakwa di mahkamah, laporan The Sun. Dilaporkan telah mula dikuatkuasakan sejak pertengahan bulan lepas, arahan terbaharu ini telah menyaksikan ribuan pemandu dan penunggang motosikal yang tidak berlesen telah didakwa di mahkamah.
Langkah ini diambil berikutan peningkatan kes memandu/menunggang tanpa lesen sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di mana polis telah menahan lebih daripada 630,000 pemandu/penunggang yang tidak memiliki lesen yang sah pada tahun 2014 dan 2015. Malah ia juga dikatakan sebagai penyumbang utama peningkatan kemalangan jalan raya pada setiap tahun.
Mana-mana pemandu/penunggang yang didapati bersalah akan berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan. Bahkan mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 90 untuk kesalahan memandu tanpa pelindungan insurans, yang dikenakan denda sehingga RM2,000 atau tiga bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.
Bercakap dengan akhbar berbahasa Ingeris itu, ketua polis trafik persekutuan SAC Mahamad Akhir Darus berkata penguatkuasaan ini disasarkan bagi mendidik mereka tentang bahayanya memandu/menunggang tanpa lesen yang sah. “Pemandu atau penunggang tanpa lesen ini tidak menjalani ujian atau latihan memandu secara formal. Maka mereka juga tidak tahu undang-undang trafik, tanda jalan atau pemanduan defensif,” ujarnya.
polis operasi PT

polis operasi PT
Sambungnya lagi, “Justeru, mereka bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya yang lain bahkan diri mereka sendiri. Penguatkuasaan ini bukanlah mahu membebankan mereka atau mengutip keuntungan. Tetapi mahu mendidik. Pasukan polis merupakan agensi penguatkuasaan dan bukannya untuk mengaut keuntungan.”
Akhir turut menambah pihak polis tidak akan lagi mengeluarkan saman kompaun bagi kesalahan memandu/menunggang tanpa lesen, sebaliknya akan terus menyita kenderaan pesalah dan mengeluarkan surat perintah mahkamah secara serta merta.
“Disebabkan mereka tidak mempunyai lesen, jadi adalah menyalahi undang-undang untuk membenarkan mereka terus menggunakan kenderaan tersebut. Jadi kami akan terus menyita kenderaan mereka. Bagi pemilik kenderaan terbabit, turut akan disaman sewaktu mereka mahu mengambil semula kenderaan itu. Saman berjumlah RM300 akan dikenakan bagi yang membenarkan pemandu/penunggang tanpa lesen memandu/menunggang kenderaan milik mereka.”
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengumumkan penguatkuasaan yang lebih ketat bakal diambil bagi kesalahan ini. Malah beliau turut berkata semua pengguna jalan raya harus mengambil serius akan perkara ini dan bertanggungjawab di jalan raya. “Banyak kemalangan jalan raya dan kematian adalah berpunca dari mereka yang tidak memiliki lesen,” ujarnya.



No comments:

Post a Comment