Friday, 8 April 2016

Tumbuk Mata Buaya Selamatkan Diri



PETRA JAYA: Seorang mangsa banjir di Kampung Tupong Ulu, di sini bertindak pantas menumbuk mata seekor anak buaya bagi menyelamatkan diri daripada serangan reptilia itu di rumahnya malam tadi. Dalam kejadian itu kira-kira jam 10 malam, Sakawi Suhaili, 54, sedang meredah banjir pada paras pinggang untuk ke pusat pemindahan selepas mengambil barangan peribadi, termasuk pakaian di rumahnya. Namun, mangsa tiba-tiba berasa sakit pada paha kanannya seolah-olah digigit binatang sebelum mendapati ia seekor anak buaya yang panjangnya kira-kira satu meter.

 "Saya pulang ke rumah semalam untuk mengambil beberapa barangan keperluan harian. Malah, saya gunakan kesempatan itu untuk menyusun bongkah kayu di bawah rumah bagi mengelak dihanyutkan banjir. "Tiba-tiba saya merasa sakit pada paha kanan. Mulanya saya sangkakan terlanggar bongkah kayu sebelum melihat seekor anak buaya menggigit paha kanan saya. "Memang saya agak terkejut dan panik ketika itu, namun sempat melepaskan satu tumbukan ke arah mata anak buaya berkenaan sebelum ia melepaskan gigitannya," katanya. Sakawi berkata, beliau menggagahkan diri meredah banjir dalam keadaan sakit meminta bantuan dari seorang jirannya yang kebetulan berada di rumah berhampiran. "Rakan saya itu kemudian bergegas ke pusat pemindahan berhampiran dan memaklumkan kejadian kepada anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang bertugas.


Sementara menunggu bantuan, saya agak bimbang juga jika ada buaya bersaiz lebih besar di sekitar rumah saya.  "Saya memang tahu ada buaya di sungai berhampiran, malah pernah beberapa kali dilihat muncul di permukaan air. Namun, ini adalah kali pertama ia menyerang manusia, malah saya tidak menyangka akan berdepan detik mencemaskan itu," katanya.  Dalam keadaan berlumuran darah dan kesan koyakan pada paha kanannya, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan.  Difahamkan, dua gigi anak buaya itu yang terbenam pada paha mangsa berjaya dikeluarkan. 

No comments:

Post a Comment