Friday, 8 April 2016

Paus Seperti Enggan Diselamatkan








BATU PAHAT: "Paus itu seolah-olah mengalirkan air mata ketika kami cuba membantunya melepaskan diri dari beting lumpur muara Sungai Sarang Buaya, tapi ia kelihatan enggan keluar hinggalah mati." Nelayan dari Jeti Parit Simin, dekat Semerah, Mohd Johari Hamdan, 32, bersama rakannya baru selesai menangkap ikan di perairan Selat Melaka dan melalui muara Sungai Sarang Buaya untuk pulang ke jeti kira-kira jam 4 petang semalam. 

Ketika itu, katanya, keadaan laut mulai surut sebelum dia ternampak kelibat paus itu melibas ekor ke udara. "Kami menghampirinya dan terkejut apabila mendapati paus itu tersekat di beting lumpur berkenaan sebelum menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan Batu Pahat untuk bantuan lanjut. 

"Kami cuba membantu paus itu melepaskan diri selepas melihat ia meronta-ronta sebelum saya terpandang ia seolah-olah mengalirkan air mata. "Berkali-kali kami cuba menolaknya keluar dari beting lumpur itu termasuk dengan bantuan APMM dan Jabatan Perikanan Batu Pahat, namun ia seolah-olah enggan keluar dari situ. 

"Kami menepuk badan paus itu bagi menenangkannya. Apa yang lebih menghibakan ialah ketika paus itu mengerang dengan kuat sebelum disahkan mati, kira-kira jam 6 petang," katanya kepada pemberita di perairan Sungai Nibong, dekat sini, hari ini. Isnin lalu, mamalia berkenaan ditemui di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah sebelum ditarik semula ke laut oleh sekumpulan nelayan yang dibantu penduduk dan anggota bomba pada jam 7 petang. 


Bagaimanapun, ia ditemui terdampar semula di muara Sungai Sarang Buaya dekat Semarah, sembilan jam kemudian. Mohd Johari berkata, pelbagai kejadian pelik dan jarang berlaku melanda perairan di sini kebelakangan ini apabila nelayan tempatan mendapat hasil tangkapan berkali ganda lebih banyak berbanding sebelum ini. "Sejak minggu lalu, hasil tangkapan nelayan di sini agak lumayan. Semalam contohnya, nelayan di sini menangkap beberapa ikan kerapu laut yang setiap satu mencecah hingga 10 kilogram. "Ia tidak pernah berlaku tetapi ada juga nelayan berasa pelik dan bimbang dengan fenomena ini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran paus yang kali pertama berlaku di perairan ini. "Ia mengulangi fenomena tahun 2004 ketika nelayan tempatan mendapat hasil tangkapan besar sebelum tsunami melanda," katanya.

No comments:

Post a Comment