HANNAH SUFIYYAH
Demikian luahan Mohd. Yusoff Abdullah, 51, yang tidak dapat menyembunyikan kesedihan kerana kematian cucunya, Hannah Sufiyyah Muhammad Adib berusia setahun tujuh bulan dipercayai akibat dihempas ke lantai di Blok B, Apartmen Teratai, Putra Perdana, Puchong, Khamis lalu.
Mohd. Yusoff berkata, cucunya merupakan seorang yang cerdas serta ceria, justeru dia dan isterinya tidak dapat menerima cara kematiannya namun tetap reda dan sedia memaafkan perbuatan tersebut.
“Ketika memandikan jenazah di hospital, saya menangis apabila terbayang kesakitan yang dihadapi oleh cucu sebelum kehilangan nyawa. Sehingga kini jika teringat, pasti mengalir air mata,” katanya ketika ditemui di Saujana Utama dekat sini hari ini.
Ibu mangsa yang berusia 27 tahun ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, kira-kira pukul 8 malam kelmarin ketika dia membawa jenazah bayinya untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah.
Bayi malang itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2 petang Kha­mis lalu oleh Hospital Putraja­ya dan mayatnya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan dera yang menyebabkan mangsa meninggal dunia seperti pendarahan di kepala dan badan akibat dipukul dengan ben­da tumpul.
Susulan itu, suspek dan teman lelakinya yang berasal dari Marang, Terengganu turut ditahan reman selama tujuh hari semalam bagi membantu siasatan.
Mohd. Yusoff menambah, menantunya itu yang juga seorang kakitangan imigresen di Putrajaya sebelum ini duduk bersama ketiga-tiga cucu di rumahnya di Saujana Utama namun telah berpindah pada 29 Januari lalu.
“Anak saya ketika itu sedang mengikuti latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Pahang dan isterinya telah keluar berpindah serta membawa mangsa dan anak sulungnya, Hannah Sumaiyyah Muhammad Adib untuk tinggal bersama di Puchong.
“Menantu menyatakan alasannya berpindah kerana ingin dekat dengan tempat kerja dan telah menye­rahkan anak kedua, Mohammed Muaz Mu­hammad Adib, 2, kepada keluarganya di Alor Setar. Saya telah menyatakan kepadanya untuk menjaga cucu namun dia tetap membawa mereka bersama,” katanya.
Jelas Mohd. Yusoff, selepas menantunya telah berpindah, cubaan untuk menghubungi ibu kepada tiga anak itu gagal.
“Kali terakhir kami berhubung adalah ketika dia baru berpindah, dia ada memaklumkan telah mendapat pengasuh untuk menjaga anak-anaknya,” katanya.
Mohd. Yusoff berkata, dia yang mesra dipanggil Tok Ayah oleh kesemuanya cucunya itu berasa kehilangan yang amat besar kerana sebelum ini cucunya itu membesar di hadapan matanya.
“Sebelum ini, jika menantu pergi kerja awal, saya yang akan menghantar Hannah Sufiyyah ke pusat asuhan kanak-kanak dan keletahnya pasti akan dirindui,” katanya.