TAIPING – Seorang penjaja makanan cedera di kepala dan beberapa bahagian badan selepas dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di hadapan Casual Market, Jalan Panggung Wayang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Tey Chuan Chuan, 52, datang ke gerainya untuk memulakan perniagaan.
Menurutnya, sewaktu dia sibuk mengemas barang perniagaan, secara tiba-tiba dia didatangi seorang lelaki.
“Tidak lama selepas itu, empat lagi individu tidak dikenali keluar dari sebuah kereta Proton Wira Aeroback warna kelabu datang menghampiri saya.
"Mereka kemudiannya bertindak memukul saya di bahagian kepala dan seluruh badan. Selain menendang bahagian badan saya, mereka juga turut memukul saya menggunakan kuali,” katanya.
Chuan Chuan berkata, dia bernasib baik apabila orang ramai mula datang melihat kejadian itu sekali gus menyebabkan semua individu terbabit melarikan diri.
“Akibat kecederaan yang dialami, saya kemudiannya di hantar ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.