PUTRAJAYA 2 April – Polis sedang menyiasat kemungkinan bayi perempuan berusia satu tahun tujuh bulan yang meninggal dunia kelmarin, dihempas ke lantai oleh ibu kandungnya sendiri.
Menurut sumber polis, siasatan awal pihaknya mendapati ibu mangsa yang bertugas sebagai pegawai imigresen bertindak demikian di kediamannya di Apartmen Teratai, Putra Perdana di sini akibat berang kerana anak bongsunya itu, Hannah Sufiyyah Muhammad Adib mahu mengikutnya ke tempat kerja.
“Anaknya menangis mahu mengikutnya ke tempat kerja dan wanita itu menghempas anaknya ke lantai. Suspek yang dibawa ke sebuah klinik di Putra Perdana untuk menerima rawatan oleh teman lelaki suspek dan disahkan meninggal dunia.
“Kedua-dua mereka ditahan berasingan selepas bedah siasat yang dilakukan mendapati terdapat kesan dera pada bahagian tubuh mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber itu memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan bebas daripada pengaruh dadah semasa kejadian.
Ujarnya, wanita yang mempunyai tiga orang anak itu dipercayai sering memukul anak-anaknya kerana menghadapi tekanan ekoran masalah rumahtangga sejak akhir tahun lalu.
Tambah sumber itu lagi, suami suspek yang sudah lama tidak dihubungi dikatakan sedang mengikuti latihan sebuah agensi penguatkuasaan di Pahang.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Berdasarkan laporan sumber sebelum ini, suspek lelaki, 22, yang bekerja sendiri dan berasal dari Marang, Terengganu itu ditahan oleh polis selepas bedah siasat ke atas bayi berkenaan yang dijalankan di Hospital Serdang semalam.
Sementara ibu mangsa yang merupakan seorang pegawai Imigresen di Putrajaya ditahan di hentian rehat dan rawat Sungai Buloh, Selangor kira-kira pukul 8 malam ketika dia membawa jenazah bayinya untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah.
Laporan awal mendapati, bayi malang itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2 petang Khamis lalu iaitu pada hari kejadian oleh pihak Hospital Putrajaya dan mayatnya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan dera yang menyebabkan mangsa meninggal dunia seperti pendarahan di kepala dan badan akibat dipukul dengan benda tumpul.
Sementara itu, seorang jiran mangsa yang ditemui di Apartmen Teratai, Putra Perdana berkata, kedua-dua suspek baharu menyewa di kediaman tersebut beberapa bulan lalu.
Dia yang hanya dikenali sebagai Nuh mendakwa, dia tidak pernah mendengar suara kanak-kanak menangis atau bunyi bising di kediaman suspek.
“Saya dan suspek tidak pernah berbual. Kami hanya terserempak ketika suspek keluar bekerja. Saya terkejut bila melihat polis datang untuk menyiasat kematian anaknya,” katanya.
SUMBER - utusan On Line
No comments:
Post a Comment