GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meluahkan rasa kecewanya berikutan kadar penceraian di kalangan kaum muda semakin meningkat saban tahun.
Jelasnya, statistik yang dikeluarkan oleh pihak berwajib di negara ini turut menunjukkan kepada perkembangan negatif berkenaan.
“Saya bersetuju dengan mengatakan gejala perceraian di kalangan pasangan muda Melayu di negara ini kian meningkat saban tahun.
“Terdapat banyak faktor yang menjadi punca kepada fenomena ini, salah satunya ialah tidak memahami tujuan sebenar perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu penceraian di kalangan pasangan muda yang semakin meningkat saban tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul sebelum ini dilaporkan memberitahu kebanyakan penceraian berlaku dalam kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun.
Ia melalui hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5) dari September 2014 hingga Januari 2015 melibatkan 23,112 tempat kediaman dan 57,246 isi rumah.
Lima kumpulan sasaran yang terlibat dalam kajian ini termasuk wanita pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, lelaki pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, remaja belum pernah berkahwin berusia 13 hingga 24 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu bujang berusia 25 hingga 49 tahun.
Wan Salim menegaskan, salah satu faktor kegagalan sesebuah perkahwinan ialah tidak mempunyai persediaan yang mencukupi ketika melangkahkan kaki ke gerbang perkahwinan.
Ia termasuk dari segi aspek fizikal, kewangan dan sosial.
Katanya, di dalam Islam adalah haram seseorang berkahwin jika tiada kemampuan dari aspek-aspek tersebut.
“Ketidakmampuan dari segi fizikal dan kewangan memang mudah difahami. Tetapi dari kemampuan dari sudut sosial juga perlu. Contohnya jika sifat kerjaya seseorang itu memerlukan dia berjauhan daripada pasangannya, itu juga mungkin menjadi faktor kegagalan,” katanya.
Bukan sahaja dari segi kelemahan pasangan, terdapat beberapa aspek lain yang mungkin menjadi faktor termasuk kursus pra perkahwinan.
Tambahnya, kursus berkenaan dilihat masih kurang berkesan walaupun ianya begitu banyak diadakan di seluruh negara.
“Mungkin modul-modulnya sudah ketinggalan zaman dan memerlukan penambahbaikan dengan mengambil kira perkembangan dunia moden yang banyak mengubah budaya hidup generasi muda kini yang semakin canggih.
“Selain itu kursus pasca perkahwinan yang bertujuan memahamkan dan membimbing pasangan suami isteri terhadap hak dan tanggungjawab masing dalam kehidupan berkeluarga juga perlu diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata, pasangan suami isteri perlu tahu dan faham bahawa memasuki alam rumah tangga bukan semata-untuk berseronok serta melayan keinginan seksual .
Tidak dinafikan ianya adalah salah satu faktor terpenting untuk kelangsungan hubungan suami isteri.
Tetapi perkahwinan perlu ada tujuan yang lebih jauh daripada sekadar hubungan fizikal.
“Perlu ada tujuan yang lebih murni dan lebih unggul iaitu untuk berbakti kepada kemanusiaan degan melahirkan zuriat yang baik dan mampu berbakti kepada umat dan bangsa pada masa hadapan.
“Ini akan terhasil apabila pasangan mampu memainkan peranan masing secara serius dan berkesan dalam mendidik anak-anak yang lahir daripada perkongsian mereka berdua sebagai ibu bapa,” katanya.
Perkahwinan juga memerlukan proses adaptasi dan penyesuaian.
“Kita mesti tahu biasanya berkahwin dengan pasangan yang dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza dengan persekitaran di mana kita dibesarkan.
“Mungkin ada perbezaan dari segi latar belakang keluarga, pendidikan, pergaulan dan lain-lain lagi.
“Kesemua faktor ini mempengaruhi sahsiah dan  memerlukan masa yang agak lama untuk saling menahami dan menyesuaikan diri dengan pasangan. Ini memerlukan kesabaran dan tolak ansur antara kedua-dua pihak,” katanya.
Dalam masa yang sama tegas beliau campur tangan orang tua untuk kedua-dua belah pihak juga merupakan satu lagi faktor menyumbang keruntuhan rumah tangga.
“Saya mahu menasihatkan ibu bapa pasangan muda supaya tidak campur tangan dalam urusan rumah tangga anak-anak.
“Biarlah mereka berdua mencorakkan sendiri keluarga yang mereka bina. Kita hanya memberi nasihat dan bimbingan sekiranya mereka memerlukan,” katanya.
Lebih rela kena cerai dari dicurangi
‘Saya lebih rela diceraikan dari terus dicurangi’. Demikian luah ibu tunggal yang hanya ingin dikenali dengan nama Mawar.
Baru berusia 29 tahun, Mawar mengakui perkahwinannya atas dasar suka sama suka.
Bekas suami yang sebaya dengannya itu pada awalnya begitu membahagiakannya, namun dua bulan selepas itu, sikapnya perlahan-lahan mula berubah.
“Saya tidak ambil peduli tetapi sikap barannya mula hantui dan menakutkan saya, hinggalah saya lihat di depan mata sendiri dia begitu seronok meluangkan masa dengan wanita lain di pusat beli belah dan kedai makan.
“Tak buat tuduhan melulu, saya cuba berdepan dengannya untuk meminta penjelasan, namun dia sekerasnya menafikan, saya cuba bersabar sehinggalah dia akhirnya meninggalkan saya hampir setiap malam,” katanya.
Mawar pasrah dengan ketentuan Ilahi dan terus ke pejabat agama untuk kaunseling terlebih dahulu.
Lebih menyedihkan apabila dia ditinggalkan di saat kandungan baru berusia sebulan.
Namun kini Mawar reda dan tabah hadapi ujian yang diberikan.
“Bukan tidak mahu meneruskan perkahwinan dan sengaja mahu bercerai muda, tetapi sudah itu ketentuan kepada saya, menangis air mata berdarah sekalipun tiada gunanya, lebih baik saya besarkan anak dengan baik, dan berharap supaya pasangan muda di luar sana sentiasa menjaga kerukunan rumah tangga,” katanya.
Berbeza dengan kes wanita berusia 25 tahun ini apabila tidak tahan akibat dikongkong keluarga mertua.
Berhenti kerja atas permintaan suami, Sharifah reda meninggalkan jawatan serta gajinya yang mencecah RM4,000 setiap bulan.
Memikirkan ‘jawatan’ suri rumah tangga lebih bernilai dan dihargai dalam Islam, dia cuba memujuk hati.
Namun panas tidak sampai ke tengah hari, keluarga mertuanya yang tinggal bersama cuba membulinya hampir setiap hari.
Ibarat pembantu rumah, Sharifah diperlakukan seperti hamba abdi sehingga sarapan pagi dibawa masuk ke dalam bilik atas arahan adik ipar.
“Saya cuba bersabar sehinggalah kesabaran sampai tahapnya apabila ditampar suami di hadapan keluarga mertua akibat dituduh mencuri.
“Saya cuba melakukan solat istikarah namun hanya pejabat agama yang jelas dalam mimpi saya, akhirnya setelah berjumpa dengan pakar kaunseling, saya tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan,” katanya.
Hampir tiga tahun bersabar, kini Sharifah bahagia dengan hidup barunya, tetapi dia sudah serik dengan perkahwinan dan berharap jika berkahwin semula akan bertemu dengan lelaki yang taat dengan perintah ALLAH SWT.