SHAH ALAM - Seramai 15 peserta yang terdiri daripada jurusolek dan pereka busana bakal bersaing di pentas akhir Anugerah Andaman dan Busana Pesona Pengantin, esok.
Editor Pesona Pengantin, Roselinda Mohd Yusof berkata pertandingan yang buat julung kalinya diadakan itu sekali gus dapat mengukuhkan hubungan antara jenama Pesona Pengantin dengan pengusaha-pengusaha industri dalam usaha memartabatkan industri perkahwinan di negara ini
“Matlamat anugerah ini juga diadakan bertujuan untuk mengetengahkan dan melahirkan jurusolek andaman dan pereka busana pengantin yang mampu bersaing, lebih profesional dan terkenal menerusi jenama Pesona Pengantin,” katanya.
Sebelum ini, peserta-peserta dari seluruh negara telah melalui sesi pra penjurian yang diadakan 20 Januari lalu di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf yang diadili empat juri iaitu Penerbit Eksekutif, Farah Hussamuddin; Jurusolek Profesional, Datin Saidatulnisa Aminuddin; Pengurus Jabatan Fotografi, Izahar Atan dan Roselinda.
Esok, sebelum berlangsungnya pentas akhir Anugerah Andaman & Busana Pesona Pengantin 2014/2015 diadakan pula pra penjurian untuk busana bagi tujuan melihat rangka kerja dan idea rekaan oleh pereka.
“Markah pra penjurian andaman dan busana itu akan dibawa ke final yang berlangsung petang esok.
“Selain empat juri tadi, Pereka Fesyen label Cosry, Putra Aziz turut akan mengadili pentas akhir ini,” katanya.